Friday, February 25, 2011

Pengenalan Kepada Majalah Edaran Sabily

Pengenalan
Salam sejahtera kepada semua yang sedang menunggu kehadiran majalah Edaran Sabily dan terima kasih kerana akan menjadi pembaca untuk terbitan yang pertama nanti. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menerbitkan sesebuah majalah namun dengan azam dan keinginan untuk membantu dan melihat masyarakat supaya tidak ketinggalan didalam perlumbaan pembangunan sistem operasi berasaskan Sistem Terbuka, Insya'Allah majalah Edaran Sabily akan dilancarkan pada awal bulan Mac 2011. Ianya lewat seminggu daripada rancangan asal iaitu 25hb Februari 2011. Ianya berlaku kerana perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.


Idea
Diperhatikan informasi-informasi berbentuk bacaan didalam bahasa Malaysia tentang Sumber Terbuka, Linux, dan lain-lain lagi adalah terlalu sedikit ataupun disesetengah tempat memang tiada. Majalah Full Circle yang diterbitkan khas untuk perisian Sumber Terbuka Ubuntu dilihat amat efektif sekali untuk pengguna-penggunanya. Namun ianya diterbitkan didalam bahasa Inggeris. Dari situ timbullah satu idea untuk mewujudkan majalah Edaran Sabily yang ditulis didalam bahasa Malaysia dengan harapan ianya akan dapat membantu memberikan informasi tentang Sabily, Sumber Terbuka, Linux dan lain-lain lagi yang berkaitan kepada rakyat Malaysia. Walaupun terdapat permintaan untuk mewujudkannya didalam bahasa Inggeris, namun fokus kita adalah untuk membantu dan meluaskan informasi itu kepada pengguna Malaysia. Tidak mustahil ianya akan diterjemahkan kepada berbagai bahasa jika ada individu atau komuniti yang sanggup melakukannya.

Topik
Setelah melalui beberapa perbincangan maka topik-topik yang akan dimuatkan kedalam majalah Edaran Sabily telah diputuskan. Namun untuk masa hadapan tidak menjadi masalah jika ada topik-topik baru yang hendak dimuatkan. Antara topik-topik atau daftar isi yang telah dirancangkan adalah,
1) Berita - akan memuatkan berita-berita atau aktiviti-aktiviti berkaitan Sabily dan sistem Sumber Terbuka yang terkini. Juga perkara berkaitan yang akan dilakukan seperti seminar dan sebagainya.
2) Majalah Edaran Sabily - Pengenalan tentang majalah Edaran Sabily.  Mungkin berlanjutan sehingga ke terbitan ketiga.
3) Sabily - Pengenalan dan perbincangan berlanjutan tentang sistem operasi Sabily. Setiap terbitan.
4) Sesi Pengaturcaraan - Mengajar tentang pengaturcaraan dan membina program-program untuk perisian. Setiap terbitan.
5) Sistem Sumber Terbuka - Membincangkan tentang sistem Sumber Terbuka. Setiap terbitan.
6) Permainan - Membincangkan tentang permainan yang terdapat di Sabily. Satu atau dua permainan pilihan untuk setiap terbitan.
7) Perisian - Membincangkan tentang perisian yang terdapat di Sabily. Satu atau lebih untuk setiap terbitan. Diutamakan kepada perisian Islamik.
8) Laman Web - Membincangkan tentang laman web pilihan. Satu untuk setiap keluaran. Diutamakan kepada laman web Islamik.
9 ) Laman Jawi - Laman didalam tulisan jawi. Samada artikel atau sebagainya. Bermula pada terbitan kedua atau ketiga.
10 ) Tip dan Trik - Tip-tip dan trik yang boleh dijalankan didalam Sabily atau edaran Linux yang lain.
11 ) Soal Jawab - Soalan-soalan daripada pembaca. Bermula pada terbitan kedua atau ketiga.
12) Forum - Forum pilihan yang dibincangkan dari laman forum sabily.org.
13 ) Testimoni - Pengalaman pengguna tentang sistem operasi Sumber Terbuka yang mereka gunakan.
14) Screenshot - Screenshot daripada pembaca.
15) Lain-lain - Artikel-artikel tambahan.

Sasaran
Selain daripada edisi perisian berformat pdf, amatlah diharapkan agar majalah Edaran Sabily dapat diedarkan kepada semua golongan dalam bentuk cetakan dimana kepada mereka yang tidak memiliki komputer, masih boleh mendapat informasi tentang isi-isi yang dimuatkan kedalam majalah Edaran Sabily. Dengan itu perisian Sabily dan lain-lain lebih mudah diedarkan dan diperkembangkan penggunaannya di masa hadapan.

Pengumpulan Data
Pada peringkat permulaan editor cuma berfikir akan melakukan kerja-kerja penerbitan bersendirian namun apabila perkara tentang perancangan untuk menerbitkan Edaran Sabily diumumkan kepada Sabily Group di Launchpad Mailing List, ianya mendapat sambutan dan komen yang menggalakkan. Ada juga yang meminta supaya diterbitkan versi bahasa Inggeris. Lalu editor merasakan adalah baik jika diberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menulis artikel-artikel yang berkaitan tentang isi majalah Edaran Sabily. Pencarian penulis telah diumumkan kepada Sabily Group, blog Sabily dan laman Facebook. Syukur dengan pertolongan saudara Asmawi, beberapa orang telah sudi untuk menjadi penulis sukarela untuk majalah Edaran Sabily.

Pelancaran
Edaran Sabily akan diterbitkan dua bulan sekali. Ini bermakna diantara setiap pelancaran versi Sabily yang baru akan diterbitkan tiga majalah Edaran Sabily.

Pengedaran
Seperti yang telah dijelaskan adalah amat diharapkan agar majalah Edaran Sabily dapat diedarkan kepada setiap golongan tidak kira sama ada mereka memiliki komputer ataupun tidak memiliki komputer. Jadi pengetahuan tentang informasi-informasi yang terkandung didalam majalah Edaran Sabily masih dapat disampaikan dan mungkin ianya akan memberikan panduan kepada mereka yang baru hendak membeli komputer dalam membuat pilihan tentang sistem operasi apa yang hendak dipasangkan.

Harapan
Amatlah diharapkan penerbitan majalah Edaran Sabily akan menjadi pendorong agar sistem Sumber Terbuka seperti Sabily khususnya dapat diperluaskan penggunaannya kepada seluruh masyarakat.

Perancangan Masa Depan
Setiap majalah yang membincangkan tentang ilmu yang khusus haruslah mempunyai isi-isi yang bernas untuk dituliskan. Di awal keluaran majalah Edaran Sabily kemungkinan kami mempunyai isi yang sedikit. Namun selepas beberapa keluaran, kami akan cuba memuatkan isi-isi yang lebih banyak. Ini dapat dilakukan dengan memanjangkan lagi perbincangan dan menambah topik-topik yang baru. Juga meneruskan pencarian penulis-penulis sukarela yang baru disamping meluaskan kemahiran mereka.

Muat turun
Majalah Edaran Sabily versi pdf boleh dimuat turun dari laman blog Edaran Sabily (http://www.edaransabily.blogspot.com) sendiri dan juga laman web Komuniti Sabily Malaysia (http://www.sabily.my). Namun begitu ianya bebas untuk diedarkan dimana-mana laman web yang lain ataupun melalui emel dan juga melalui komputer ke komputer (pemacu USB, CD/DVD, jaringan, rangkaian, FD dan sebagainya) selagi ianya berbentuk soft copy. Penerbitan dalam bentuk cetakan hanya akan dikeluarkan oleh Komuniti Sabily Malaysia sahaja jika terdapat permintaan dan keperluan terhadapnya. Ianya amatlah penting untuk menyebarkan informasi tentang Sabily dan lain-lain yang berkaitan kepada mereka yang tiada kemudahan komputer.

Jangan lupa untuk mendapatkan majalah Edaran Sabily nanti dan terima kasih kerana menyokong pembangunan perisian Sumber Terbuka dan perisian Islamik. Terima kasih juga kerana akan membantu mengedarkannya. Sama-sama kita membuka sumber yang masih kabur.

Wednesday, February 16, 2011

Terbitan Pertama Edaran Sabily / First Edaran Sabily Issue

Terbitan pertama Edaran Sabily akan dilancarkan pada 25hb Februari 2011. Jangan lupa untuk mendapatkannya.
The first Edaran Sabily issue be launched on 25th February 2011. Do not forget to get it.